SELERA IDAMAN – BURGER BANJIR EIGHT MILES IPOH

Video Rate:
0 / 5 ( 0votes )
62 views

Keenakan burger pasti tidak akan dapat dilupakan peminat makanan Barat ini, tambahan pula sos cili dan sos lada hitamnya diproses dan dicampur dengan rempah-ratus buatan sendiri.

Keistimewaan sos yang melimpah pada burger itu menjadi menu ‘terhangat’ di Restoran EightMiles8 di Ulu Kinta, Ipoh, Perak.

Lebih menarik, pelanggan boleh menikmati set Burger Banjir bersama kentang goreng pada harga berbaloi bermula dari RM4 sehingga RM8.

Pemiliknya, Wan Fardhley Ashari Wan Roslan, 30, berkata, hidangan istimewa itu ciptaannya sendiri selepas menyedari ada pelbagai jenis burger di pasaran, justeru penting baginya menghasilkan burger lain daripada yang lain dengan harga berpatutan.

“Saya mendapat ilham membuat Burger Banjir selepas melihat ramai rakyat Malaysia menggemari roti canai banjir. Saya membuat makanan ini dengan konsep sama.

“Saya percaya apa yang membuatkan pelanggan datang semula selepas kali pertama merasai burger banjir kerana sosnya lazat dan murah.

Ini yang membuatkan Burger Banjir menjadi sebutan,” katanya yang berpengalaman sembilan tahun menjadi penjual burger jalanan.

Wan Fardhley, anak jati Ipoh berpegang teguh pada prinsip mengekalkan keenakan dan harga terbaik supaya dapat memberi lebih kepuasan kepada pelanggan.

Dia tidak menyangka sambutan pelanggan sangat menggalakkan tidak sampai sebulan sejak restoran ini dibuka pada dua tahun lalu.

“Bagi memberikan penghargaan kepada pelanggan, kami menjual pelbagai jus buah-buahan dengan harga RM2 segelas.

Selain burger banjir yang menjadi pilihan pelanggan, Restoran EightMiles8 turut terkenal dengan Full Tank Chicken Chop dan Full Tank Lamb Chop selain pelbagai masakan barat.

Dia yang mengusahakan restoran itu bersama keluarganya, memilih konsep kitar semula sebagai hiasan dalaman restoran apabila semua perhiasan dan rekaan dalaman menggunakan barang kitar semula seperti besi terpakai, kayu buangan, zink, plastik dan sebagainya.

Beroperasi pada jam 5 petang hingga 1 pagi, pelanggan boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman Instagram @eightmiles8 atau terus ke restoran itu di Batu 8, Ulu Kinta, Ipoh, Perak.

         

SUMBER INFO : HARIAN METRO
SUMBER FOTO : FB EIGHT MILES 8
SUMBER VIDEO : BRAINDISK0405

 

Category: Selera Idaman
Booking.com