DESTINASI IMPIAN – TANAH AINA FAHAD, RAUB, PAHANG

Video Rate:
0 / 5 ( 0votes )
76 views

Tanah Aina Fahad, sebuah resort 8 ekar terletak bersebelahan dengan Lata Jarum yang terkenal di Ulu Dong, Raub sesuai untuk semua pencinta alam yang ingin melarikan diri hiruk-pikuk kehidupan di kota.

Hanya 2.5 jam perjalanan dari Kuala Lumpur, tetamu akan melalui pengalaman memandu indah melalui kampung Melayu untuk sampai ke resort. Ia mudah diakses dengan kereta, tempat letak kereta yang mencukupi disediakan untuk para tetamu.

Apabila sampai Tanah Aina Fahad, tetamu akan disambut dengan bunyi sungai yang mengalir dan pemandangan indah Sungai Dong.

Dapur disediakan untuk 24 jam (12:00-12:00) di mana maksimum 20 orang setiap dapur.

Perkakas dapur, peti sejuk dapur, pembakar roti, set BBQ dan dapur gas disediakan.

Nikmati kehangatan kopi, teh, teh misai kucing dan air. Makanan di luar turut dibenarkan.

SUMBER : TANAH AINA.COM

@@@ ARTIKEL DARI AKHBAR KOSMO @@@

 BERADA seharian di Tanah Aina Fahad, Ulu Dong, Raub, Pahang menjadikan diri terasa segar dan tenang kerana dikelilingi pepohon hutan yang meliputi kawasan yang berkeluasan 37,432 meter persegi itu.

Terasa dibuai-buai sambil fikiran melayang mendengar simfoni alam antara unggas-unggas dan deruan air yang berakar dari Lata Jarum, Ulu Dong.

Hilang lelah di tubuh Ari Suwari selepas seminggu sibuk membanting tulang yang menuntut ketekunan fizikal dan emosi dalam menjalankan tanggungjawab sehariannya.

Bagi jejaka berusia 28 tahun itu, Tanah Aina Fahad mempunyai keistimewaan yang secocok dengan jiwanya yang mencintai alam semula jadi.

“Memang banyak lokasi percutian hujung minggu yang terdapat di Malaysia tetapi saya lebih gemar untuk berada dekat dengan flora dan fauna.

“Tanah Aina Fahad menjanjikan kesegaran dan ketenangan yang jarang sekali dirasai, terutamanya kepada penduduk di ibu kota,” ujar Ari yang turut ditemani oleh adiknya, Aan, 24.

Tanah Aina Fahad merupakan lokasi baharu yang diperkenalkan oleh pengusahanya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.

Selain Tanah Aina Fahad, terdapat lima lagi lokasi percutian di bawah kendalian Tanah Aina Sdn. Bhd. iaitu Tanah Aina Farrah Soraya (Raub), Tanah Aina Farouq (Mukim Tras, Raub), Tanah Aina Fareena (Bentong), Tanah Aina Farhana (Desaru) dan sebuah Restoran Tanah Aina Azareena di Bentong.

Bakal dibuka sepenuhnya pada bulan depan, Tanah Aina Fahad menekankan konsep perkhemahan yang menempatkan pengunjung di sebuah khemah berdekatan sungai.

Kawasan seluas 12,140 meter persegi dikhususkan untuk tapak perkhemahan yang mampu menempatkan 20 khemah dalam satu-satu masa.

Sebuah khemah boleh memuatkan seramai empat hingga lima orang yang turut dilengkapi katil, tilam dan kipas.

KONSEP

Konsep perkhemahan tersebut dipilih berdasarkan struktur muka bumi Tanah Aina Fahad yang dikelilingi hutan simpan semula jadi.

Ia terletak di kawasan Hutan Simpan Gunung Benom di bawah kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang. Disebabkan itu, pengunjung bakal menikmati keadaan hutan sebenar yang dihuni oleh hidu- pan flora dan fauna.

Berkesempatan mengunjungi kawasan ekopelancongan itu, pengunjung berpeluang melihat pelbagai variasi burung yang bebas berterbangan, antaranya burung murai, serindit dan merbah.

Bagi mengekalkan momentum tersebut, pengunjung juga diminta untuk menyediakan makan dan minum sendiri bagi mewujudkan semangat berdikari dalam diri mereka.

“Kami akan menyediakan kemudahan memasak seperti dapur, peralatan memasak dan bahan memasak mengikut permintaan mereka,” ujar Shariffa Sabrina.

SUMBER INFO : KOSMO

SUMBER VIDEO : mSTAR ONLINE

 

 

 

 

Category: Destinasi Impian
Booking.com