DESTINASI IMPIAN – PERCUTIAN ALA IINGGERIS DI MAS BRO VILLAGE, CHENG, MELAKA

Video Rate:
0 / 5 ( 0votes )
53 views

Unik Dan Kreatif! Perkataan ini pasti meniti di bibir tatkala anda melalui Batu 7, Kampung Bangsal, Paya Rumput, Cheng, Melaka.

Ini kerana dari tepi jalan raya, anda akan melihat sederet kotej berbentuk segi tiga berwarni-warni. Ia betul-betul bersebelahan Rumah Tradisional Paya Rumput.

Bagi yang pernah bercuti di Eropah atau Australia, anda pasti terkenang memori berkunjung ke sana. Kini anda tidak perlu lagi ke luar negara kerana di Melaka juga ada penginapan hampir sama yang jauh lebih murah.

Dinamakan Masbro Village, suasana sekitarnya yang tenang kerana jauh dari hiruk-pikuk bandar pasti menambat hati sesiapa saja yang pertama kali menetap di sini.

Tambahan pula kawasan penginapan ini yang diubah suai menjadi seakan-akan perumahan Inggeris mewujudkan lagi suasana harmoni bagi mereka yang gemar bergambar.

Justeru, tidak hairanlah apabila tempat penginapan ini menjadi viral di laman sosial.

Masbro Village yang beroperasi sejak Mei tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada pengunjung dari luar Melaka.

Sehinggakan pengurusnya, Mazlan Ali, 50, tidak menang tangan menjawab panggilan telefon daripada pelanggannya.

 Menurut Mazlan, pembinaan Masbro Village cetusan ideanya dan adik bongsu, Mas Fazil Ali, 49.

“Pada awalnya pembinaan kotej ini khas untuk ahli keluarga, tetapi apabila difikirkan ia ada potensi untuk memajukan sektor pelancongan Melaka, kami sebulat suara menjadikan Masbro Village sebagai kotej penginapan pelancong.

“Bermodalkan lebih RM50,000 yang datang sepenuhnya daripada Mas Fazil, dua kotej dibina dan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk siap sepenuhnya sebelum mula beroperasi.

Masbro Village diambil sempena nama kami enam beradik yang berpangkal ‘Maz’.

“Selepas itu, saya mula menghebahkan pembukaan Masbro Village di laman sosial Facebook.

Tidak dijangka dalam masa beberapa hari saya mendapat banyak panggilan untuk tempahan sehingga terpaksa ditolak berikutan kami hanya ada dua kotej pada masa itu,” katanya.

Kini, Masbro Village yang berkeluasan 1.8 ekar sudah mempunyai enam kotej. Dijangka pada tahun depan 18 lagi kotej akan dibina. Penambahan dibuat berikutan permintaan tinggi daripada pelanggan.

Mengenakan sewa RM250 semalam, setiap kotej dilengkapi dua katil bersaiz ‘queen’ di tingkat atas manakala di bawah pula menempatkan bilik air, televisyen, sofa, ketuhar gelombang mikro dan pinggan mangkuk yang mampu memuatkan enam orang pada satu masa.

Menariknya, mengikut perancangan pada tahun depan dua kolam renang kanak-kanak dan dewasa akan dibina dan pengunjung berpeluang merasai kelainan seperti sedang bercuti di sebuah pulau.

Selain itu, tempahan untuk majlis perkahwinan pada waktu malam di Masbro Village juga akan dilaksanakan.

“Masbro Village bukan saja meningkatkan ekonomi kami, bahkan penduduk sekitar Paya Rumput kerana kebanyakan pengunjung mencari makanan ala kampung.

Selain itu, pekerja yang menguruskan kotej juga semuanya diambil dalam kalangan jiran tetangga.

“Bagi yang tidak pernah menginap di sini, datang dan rasai keunikannya sendiri apatah lagi selepas ini Masbro Village akan dinaik taraf.

Disarankan membuat tempahan sebulan lebih awal berikutan pada hujung minggu kotej sentiasa penuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan oleh Harian Metro pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 11:22 AM

SUMBER VIDEO > FOLLOW ALONA JALAN

 

Category: Destinasi Impian
Booking.com