DESTINASI IMPIAN – HOTEL KAPSUL DI SUNGAI LEMBING, PAHANG

Video Rate:
0 / 5 ( 0votes )
69 views

Hotel berbentuk kapsul atau Time Capsule Retreat di pinggir hutan pekan Sungai Lembing, Kuantan, Pahang ini pasti mengujakan penghuninya yang pertama kali ‘beradu’ kerana ia berbeza dengan bilik penginapan lain dikunjungi sebelum ini.

Biarpun tampil dengan pelbagai gelaran seperti hotel kolong, hotel kapsul, hotel tiub atau hotel paip pembentung, namun ia tetap mencuri pandangan kerana rekaannya unik berbentuk silinder.

Time Capsule Retreat menerapkan konsep kembali kepada alam sekitar dan menawarkan bilik yang berinspirasikan binaan kolong.

Melelapkan mata dan merehatkan badan di bilik tidur ‘konkrit’ dengan warna putih sebagai latar ruang, menikmati pula kicauan burung serta kesegaran alam sekitar pastinya menjanjikan pengalaman sukar dilupakan.

Begitu juga dengan penulis yang sedikit teruja sebaik membuka pintu bilik penginapan kerana di dalamnya hanya kelihatan ruang yang sempit, tapi selesa.

 

Dua tiga langkah saja sudah boleh berbaring di tilam empuk yang dibaluti cadar putih. Tiada kerusi meja disediakan kecuali katil bersaiz ‘queen’, alat pendingin hawa dan soket untuk kemudahan mengecas telefon bimbit.

Pemiliknya, Tan Siow Lan berkata konsep santai dengan pandangan hijau yang mendamaikan itu antara tarikan utama

“Kami ingin perkenalkan ‘space ship from autospace’. Tidur dalam kapsul, keluar saja bilik terpandang hutan. Satu pemandangan unik yang tiada seumpamanya.

“Malah kami harap tetamu merasai sendiri pengalaman tinggal dalam sebuah ruang sempit tapi selesa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tersedia di luar bilik kemudahan tandas dan bilik air, tempat mandi terbuka, kolam mini, sinki dan ampaian selain menikmati makanan serta minuman di ruang meja khas.

Dia yang turut dikenali sebagai Young berkata pengunjung juga bebas untuk membuat pilihan lain jika berminat untuk bermalam di banglo putih dengan seni bina Inggeris yang terletak bersebelahan kapsul konkrit itu.

Kedua-dua hotel kolong dan banglo berkenaan boleh menempatkan hingga 40 orang pada satu-satu masa.

“Kami memiliki lapan kapsul dilengkapi katil bersaiz ‘king’ ditawarkan pada RM119 satu malam,” kata Tan.

Menurutnya, empat kapsul mempunyai dinding cermin pada bahagian kepala katil menghadap hutan sementara empat kapsul lagi menggunakan cermin tebal sebagai pintu.

Ia bagi membolehkan pengunjung melihat keindahan alam dari setiap sudut.

Bagi pasa­ngan yang baru berkahwin atau yang mahu meraikan ulang tahun perkahwinan, kapsul ini boleh dijadikan pilihan untuk berbulan madu.

Malah ia terlindung dalam rimbunan rimba melengkapi landskap alam semula jadi yang memagari kapsul penginapan di Time Capsule Retreat itu.

Biarpun terletak di pinggir hutan, kemudahan wifi tetap disediakan selain televisyen untuk menghilangkan sedikit rasa bosan jika malas untuk keluar ke pekan Su­ngai Lembing.

Selain tarikan penginapan yang unik, pengunjung boleh mencuba pelbagai aktiviti menarik yang terdapat di sekitar Sungai Lembing seperti berkelah di Air Terjun Pelangi, mendaki Bukit Panorama, Muzium Sungai Lembing dan aktiviti lasak kenderaan ATV serta ‘flying fox’.

Sebarang keterangan lanjut sila layari laman Facebook TIME CAPSULE RETREAT.

SUMBER VIDEO > ANGIN TIMUR

 

 

Category: Destinasi Impian
Booking.com